PAS DUN KOTA

PAS DUN KOTA

Rabu, 3 April 2013

Penubuhan Galeri Ulama di DUN Kota, Parlimen Rembau




Penubuhan Galeri Ulama di DUN Kota, Parlimen Rembau

Kawasan sekitar DUN Kota dalam Parlimen Rembau telah melahirkan begitu ramai ulama yang telah banyak berjasa sejak kedatangan Islam di daerah ini pada awal kurun ke 16 lagi. Rembau satu ketika dulu mempunyai banyak madrasah dan pondok sebagai tempat tumpuan orang Islam di daerah ini untuk mempelajari pelbagai cabang ilmu dalam pengajian Islam.

Namun generasi kini, terutamanya mereka di Rembau tidak begitu mengenali akan hakikat sejarah bahawa Kota pernah melahirkan begitu ramai ulama yang telah berjasa kepada agama dan bangsa.

Sehubungan dengan itu PAS DUN Kota menegaskan betapa peri pentingnya untuk ditubuhkan satu badan khusus seterusnya diadakah Galeri Ulama di daerah ini agar roh penyebaran ilmu Islam yang diamalkan oleh ulama terdahulu di daerah ini akan menjadi panduan generasi masa kini dalam menyelesaikan pelbagai permasalah umat memandangkan penduduk di DUN Kota ini terdiri dari lebih 90 peratus mereka yang beragama Islam yang majoritinya berbangsa Melayu.

Antara ulama-ulama yang telah berjasa tersebut ialah :
HAJI DAHAT HAJI MUHAMAD NOR (1844 – 1937)
HAJI MUHAMAD HAJI ITAM (1886 – 1969)
HAJI MUHAMAD HAJI DAUD (1887 – 1969)
HAJI ABDUL GHANI MOHD NOR (1887 – 1937)
HAJI MOHD YATIM BIN ZAINAL ABIDIN (1903 – 1979)
TUAN LEBAI ARIS BIN AHMAD (1905 – 1947)
TUAN GURU HAJI IBRAHIM MOHD DAHAN (1907-1997)
DATO' HAJI HASAN BIN SAIL (1922-1993)

HJ GHAZALI BIN MOHD SHOM
Penyelaras PAS DUN Kota

***********

HAJI DAHAT HAJI MUHAMAD NOR (1844 – 1937)

Haji Dahat bin Haji Muhamad Nor adalah ulama dari Kawasan Luak Rembau yang dilahirkan dalam tahun 1844 ( 1260H). Tidak banyak data-data riwayat hidup tokoh ini yang diperolehi setakat ini. Menurut catatan yang ada, beliau meninggal dalam usia yang agak lanjut iaitu 93 tahun pada 1937.

Allahyarham Haji Dahat mendapat pendidikan agama secara pondok di Kedah. Kemudian beliau melanjutkan pengajiannya di Mekah. Apabila menunaikan haji kali kedua dalam tahun 1917, Haji Dahat dikatakan tinggal lebih lama di Mekah untuk menuntut ilmu agama.

Semasa hayatnya, Allahyarham Haji Dahat suka mengajar kitab-kitab tasawuf dan usulludin. Beliau pernah ditawarkan jawatan Kadhi tetapi tidak diterimanya kerana beliau lebih selesa dan bebas untuk berdakwah atau menambah ilmu di dada.


HAJI MUHAMAD HAJI ITAM (1886 – 1969)

Haji Muhamad ini dinyatakan anak seorang saudagar yang berjaya di zamannya dalam, Daerah Rembau dan Kuala Lumpur. Beliau dilahirkan di Kampung Nerasau, Rembau dalam tahun 1886. Apabila meningkat remaja, beliau pergi ke Mekah untuk menuntut ilmu agama.

Pernah memegang jawatan nazir pendidikan agama di sekolah-sekolah Melayu dan lepas itu dia meletakkan jawatan atas kerelaannya sendiri. Ketika hayatnya Haji Muhamad ini bukan sahaja aktif mengajar agama di Rembau tetapi juga sampai di Kampung Pandan Kuala Lumpur. Ramai anak-anak muridnya yang berjaya termasuklah bekas kadhi Rembau bernama Haji Abbas. Dikatakan di tahun akhir hayatnya, beliau mengajar di Kampung Sega, Rantau. Antara kitab-kitab yang disampaikannya ialah Muniatul Musalli dan Sabilu Nuhtadin.
HAJI MUHAMAD HAJI DAUD (1887 – 1969)

Haji Muhamad bin Haji Daud dilahirkan dalam tahun 1887 di Kampung Tanah Datar, Rembau. Tanah Datar ialah salah satu suku dalam masyarakat adat perpatih Negeri Sembilan. Waktu kelahirannya, Luak Rembau di bawah penguasaan Dato’ Undang Sedia Raja Serun bin Sidin ( 1883 – 1905). Di Rembau, orang-orang daerah ini lebih mengenali beliau dengan panggilan “Haji Kursasi”. Bapanya bernama Haji Daud dari suku Paya Kumbuh yang juga seorang ulama dalam masa hayatnya.

Allahyarham Haji Kursasi ini mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu di Chenung, Chengkau dalam Daerah Rembau. Kemudian beliau mengaji agama dari ayahnya. Sebagaimana anak-anak muda yang dahagakan ilmu agama waktu itu, beliau turut belayar ke Mekah Al Mukarramah untuk mengaji agama selama 13 tahun. Apabila usia menjangkau 34 tahun ( kira-kira tahun 1921) barulah Haji Kursasi ini balik ke Tanah Jawi.

Semasa hayatnya, Haji Kursasi pernah menjawat jawatan Penolong Nadzir Agama di Sekolah Melayu sebelum bersara dalam tahun 1952. Beliau pernah juga mengajar agama di masjid dan surau-surau dalam Daerah Rembau. Antara tahun 1947 hingga 1949, Allahyarham dilantik mewakili Rembau dalam Majlis Mesyuarat Agama Islam peringkat negeri.

HAJI ABDUL GHANI MOHD NOR (1887 – 1937)

Allahyarham Haji Abdul Ghani Mohd Nor dilahirkan di Chengkau, Rembau dalam tahun 1887. Beliau dari suku Tanah Datar. Dikatakan pernah belajar di Sekolah Melayu Chengkau tahun 1900. Kemudian mengaji agama dengan Allahyarham Haji Mustapha Linggi selama 5 tahun.

Dalam tahun 1926, beliau dilantik sebagai Kadhi Daerah Tampin. Semasa hayatnya Haji Abdul Ghani pernah juga berkerja sebagai guru agama dan mengajar agama di masjid dan surau-surau dalam Daerah Tampin. Beliau seorang pembaca Al Quran yang terkenal dan apabila ada majlis-majlis agama, beliau kerap pula dijemput untuk membaca ayat-ayat suci Al Quran dan berqasidah.


HAJI MOHD YATIM BIN ZAINAL ABIDIN (1903 – 1979)

Allahyarham Haji Mohd Yatim Bin Zainal Abidin dilahirkan dalam tahun 1903 bersamaan 1320 Hijrah di Kampung Tanah Datar, Kota dalam Daerah Rembau. Bapanya dari suku Tanah Datar dan manakala ibunya orang Biduanda. Beliau anak pertama dari dua adik beradik.

Haji Mohd Yatim mula mendapatkan pendidikan di Sekolah Melayu Kota sehingga Darjah Empat. Bapanya menyimpan hasrat supaya anak lelakinya itu menjadi orang alim dalam agama. Lalu beliau menghantar Allahyarham mengaji agama di pondok- pondok dalam Negeri Kedah dan Kelantan ketika usianya menjangkau 20an. Mengikut riwayatnya, beliau pernah berguru dengan Allahyarham Tok Kenali tokoh ulama terbilang dari Kelantan.

Sekembalinya dari Mekah, Allahyarham terus menggunakan ilmu yang telah dipelajari untuk berbakti. Beliau telah menubuhkan sebuah sekolah pondok di kampungnya di Ulu Gadong. Selepas dua tiga tahun membuka pondoknya, Allahyarham Haji Mohd Yatim prihatin dengan kedhaifan anak-anak yatim dan miskin untuk mendapat pengajian agama. Dengan tekad dan sokongan penduduk-penduduk kampungnya, mereka akhirnya mendirikan Madrasah Itthihadiah Ulu Gadong dan sebuah asrama untuk dihuni oleh anak-anak yatim dan miskin secara percuma. Allahyarham Haji Mohd Yatim memberikan segenap tenaganya untuk menghidupkan madrasah yang telah didirikan.

Beliau juga adalah pengasas Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Dan Miskin Ulu Gadong. Mungkin kerana kegigihan dan kealimannya maka Dato' Haji Ipap bin Haji Abdullah, Undang Luak Rembau ketika itu telah melantik Allahyarham menjadi Kadhi Daerah Rembau bagi tahun 1954 hingga 1968.

Atas segala baktinya itu, sekolah yang didirikannya ( telah diambil alih oleh Kerajaan) diberi nama Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim.




TUAN LEBAI ARIS BIN AHMAD (1905 – 1947)

Tuan Lebai Aris bin Ahmad (1905 – 1947), dari Kg Nerasau, Penajis, Rembau. Begitu besar jasa Lebai Aris kepada Sultan Siak, kerajaan Siak dan rakyat Siak, beliau telah dilantik sebagai penasihat tidak rasmi Sultan Siak dan dianugerah tanah seluas 500 ekar.



TUAN GURU HAJI IBRAHIM MOHD DAHAN (1907-1997)

Nama penuh tuan guru ialah Haji Ibrahim bin Mohd Dahan. Allahyarham dilahirkan di kampung Seri Lemak, Rembau dalam tahun 1907. Bapanya Encik Mohd Dahan bin Hassan dan ibunya pula Puan Lijah binti Mohd Arshad.

Dalam tahun 1925-1930 Haji Ibrahim melanjutkan pengajian agamanya di sekolah Arab Al Ahmadiah, Alor Setar dan belajar ilmu falak dengan Tuan Guru Haji Wan Sulaiman Wan Sidik Syeikh Islamiah, Kedah. Haji Ibrahim turut belajar dengan tokoh ulama terkemuka zaman itu iaitu Tok Kenali selama beberapa tahun sebelum ulama besar itu meninggal dunia.

Pada akhir tahun 1935 beliau balik ke kampung dan mula mengajar serta membuka pondok di Kampung Bongek. Allahyarham juga turut dipanggil mengajar dibeberapa surau dan masjid di Tampin dan Johol. Bagi merealisasikan ilmu di dada, beliau menubuhkan Madrasah Islamiah Bongek dalam tahun 1946. Difahamkan setiap tahun hingga tahun 1959, madrasah tetap mengadakan majlis ikhtifal. Ramai tokoh terkenal agama dan politik khususnya pimpinan PAS yang hadir ke majlis itu termasuklah Tuan Haji Ahmad Fuad, Profesor Zulkiefli Mohamad, Doktor Burhanudin Helmi dan Ustaz Mohd Fadhihalluah Suhaimi.


DATO' HAJI HASAN BIN SAIL (1922-1993)

Dato' Haji Abu Hasan bin Haji Sail – dilahirkan pada 6 Ogos 1922 di Kg. Pulau Bukit Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pulau Besar Rembau, Negeri Sembilan dari tahun 1929 hingga tahun 1933. Kemudian beliau menyambung pelajarannya di Madrasah al-Sa‘idiyyah Kg. Pondok, Rasah dibawah pimpinan allahyarham Sheikh Haji Ahmad.

Pada tahun 1937 beliau berangkat ke Timur Tengah untuk menyambung pelajarannya sehingga tahun 1945.

Antara jawatan yang pernah beliau sandang ialah :
• Kadhi Besar Negeri Sembilan yang Pertama (1961 – 1969)
• Mufti Kerajaan Negeri Sembilan yang kedua (1969 – 1987)

Penghormatan masyarakat sekitar terhadap beliau terlalu tinggi, beliau dikenali sebagai ulama' yang tidak pernah membezakan taraf seseorang. Beliau juga dikenali seorang yang pendiam, tidak banyak bercakap dan bercakap jika dirasakan perlu. Sepanjang beliau menjadi Mufti Kerajaan Negeri beliau sentiasa berlembut dalam memberi nasihat kepada pemerintah. Sikap seperti ini jauh berbeza dengan arwah gurunya Sheikh Haji Ahmad yang sentiasa tegas.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan