PAS DUN KOTA

PAS DUN KOTA

Rabu, 3 April 2013

Pembangunan di DUN Kota, Utamakan Kepentingan Penduduk Setempat




Laporan akhbar Berita Harian pada 21 Feb 2013 menyebut bahawa Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan kampus UiTM cawangan Rembau akan dibangunkan di atas tanah seluar 32.37 hektar

Laporan Bernama pada 9 Jan 2010 pula memetik Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato Seri Mohamad Hasan berkata pembinaan kampus UiTM di Chengkau, Rembau.

Terlebih dahulu pihak kami amat mengalu-alukan sebarang pembangunan yang diadakan di DUN Kota ini. Apa yang kami harapkan biarlah setiap pembangunan yang dijalankan ini mengambil kepentingan penduduk setempat.

Setiap pembangunan, pasti ada pengorbanannya. Tidak boleh tidak, mungkin ada tanah penduduk akan diambil oleh kerajaan dalam proses pembangunan ini. Sebelum ini beberapa penduduk di DUN Kota telah terlibat dengan proses pengambilan tanah oleh kerajaan dalam projek pembinaan landasan kereta api elektrik berkembar, seramai 138 keluarga dari empat kampung di Chengkau pula terlibat dengan projek menaik taraf jalan Chengkau-Astana Raja sekitar tahun 2008 dan juga pembinaan sebuah sebuah loji rawatan air, sebuah muka sauk dan sebuah empangan redah di mukim Titian Bintangor, Rembau pada tahun 2007-2010.

Satu lagi projek pembangunan yang berkemungkinan melibatkan kepentingan tanah penduduk setempat ialah projek keretapi laju yang menghubungkan Singapura dan Kuala Lumpur yang dilaporkan akhbar pada 19 Februari 2013 yang lalu.

Laporan akhbar Berita Harian pada 18 Julai 2009 menyatakan bahawa mereka yang terlibat dengan projek pembinaan landasan kereta api elektrik berkembar di Kampung Chua Hilir dan Kampung Chembong Halt hanya diberi tawaran pampasan sebanyak RM1.20 hingga RM2.80 kaki (RM52,272 – RM121.968 seekar) persegi yang belum cukup untuk mendirikan rumah baru.

Ini amat berbeza sekali dengan harga tanah yang ditawarkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) untuk tapak hospital Rembau dimana laporan akhbar Berita Harian pada 15 Mac 2012, mengatakan bahawa PKNNS mahu menjual tanah untuk tapak hospital Rembau pada kadar RM 22 sekaki persegi bersamaan dengan RM 958,320 seekar. Hospital Rembau akan didirikan atas tanah seluas 18 hektar (44.48 ekar), ini bermakna jika PKNNS menjualnya pada kadar RM22 sekaki persegi, kos tanah untuk tapak hospital Rembau ialah RM42.63 juta.

Projek perumahan baru di Rembau pada ketika ini menawarkan harga sebanyak RM250,000 untuk satu unit rumah teres 2 tingkat dan RM138,888 untuk rumah teres 1 tingkat di Kundur. Ini menunjukkan kos rumah semakin tinggi di DUN Kota ini, sedangkan kos pampasan tanah yang diberi oleh kerajaan sebelum ini adalah tidak munasabah.

Justeru itu pihak kami berharap penduduk yang terlibat dengan sebarang projek pembangunan di DUN Kota ini diberi pampasan yang setimpal dan munasabah sekiranya tanah mereka diambil oleh kerajaan.

HJ GHAZALI BIN MOHD SHOM
Penyelaras PAS DUN Kota

Tiada ulasan:

Catat Ulasan