Wartawan Sinar Harian
31 Mac 2013
KOTA – Pas Dun Kota dengan kerjasama Sekretariat Pakatan
Rakyat (PR) Parlimen Rembau mengambil inisiatif melaksanakan projek
pemuliharaan tempat bersejarah di daerah ini.
Penyelaras Pas Dun Kota, Ghazali Mohd Som berkata, di
peringkat Dun berkenaan, pihaknya memilih makam Datuk Lela Balang di Kampung
Kota Lama yang sudah terbiar untuk dibersihkan melalui aktiviti gotong-royong.
Menurutnya, sewajarnya makam berkenaan dijadikan sebagai
tempat warisan bersejarah kerana ia bukan hanya menjadi tempat tarikan
pelancong, malah dapat membangkitkan semangat juang generasi muda apabila
mengenali tokoh pemimpin adat mereka sendiri.
“Malah, generasi muda mungkin tidak menyedari banyak fakta
sejarah antaranya peranan yang dimainkan masyarakat di Rembau yang terdiri
daripada Orang Asli suku Jakun dan kaum pendatang dari Sumatera pada zaman
kejatuhan kerajaan Islam Melaka untuk menghalau penjajah Portugis pada ketika
itu dari bumi Tanah Melayu dan Nusantara.
“Sekiranya PR menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)
nanti, kita akan mengusulkan beberapa cadangan dan kertas kerja berkaitan Adat
Perpatih serta tempat bersejarah bukan sahaja di Rembau malah di seluruh Negeri
Sembilan supaya ia dapat memberi manfaat kepada semua pihak, baik dari sudut
keagamaan, kebudayaan serta ekonomi,” katanya.
Hadir sama, Pengarah Pilihan Raya Pas Dun Kota, Izamri Med
dan Pengarah 2 Sekretariat Pakatan Rakyat Parlimen Rembau, Rozmal Malakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan