PAS DUN KOTA

PAS DUN KOTA

Ahad, 20 Ogos 2017

Tingkat usaha dakwah luar parti




Tingkat usaha dakwah luar parti
Sinar Harian 19 Ogos 2017

JEMPOL - Aktiviti dakwah luar parti mesti dipertingkatkan sekurang-kurangnya lebih separuh dari jumlah program tahunan.

Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, usaha itu bagi melengkapkan pemimpin Pas sama ada di peringkat negeri, kawasan mahu pun cawangan supaya menjadi pemimpin masyarakat berbilang kaum.

“Macam mana nak pimpin jika tak buat program luaran? Kita tak boleh sekadar menjadi pemimpin Pas saja, tapi pemimpin masyarakat termasuk bukan Islam.

“Namun diingatkan, elakkan pertelagahan juga krisis sesama sendiri dan istiqamah melibatkan diri dengan program peningkatan kefahaman ahli seperti usrah, liqa’, tamrin dan rehlah.

“Dalam masa sama tingkatkan ilmu kefahaman Islam supaya mampu memimpin dengan mengemukakan solusi yang baik dalam setiap permasalahan negara dan masyarakat berdasarkan manhaj al-Quran serta Sunnah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Munaqashah Ucapan Dasar Presiden Pas peringkat Negeri Sembilan di Muassasah Darus Su’ada, Batu Kikir, di sini.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya (TPJ 1) Pas Negeri Sembilan, Dr Rafiei Mustapha; TPJ 3, Abd Razakek Abd Rahim dan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Tambahnya, pelbagaikan aktiviti dengan mengaktifkan dialog, forum dan sebagainya dengan menyampaikan dakwah kepada masyarakat ke arah memahami Islam serta celik politik termasuk kepada bukan Muslim.

“Namun pemimpin dan ahli semua peringkat mesti peka dan fahamkan keputusan serta tindakan Pas. Dapatkan maklumat yang sahih.

“Memperkukuhkan gerak kerja dan aktiviti blok ketiga bersama Gagasan Sejahtera di semua peringkat parti. Jangan sekali-kali bertindak dan buka ruang kemenangan kepada pihak yang sangat ketara anti Islam, sebaliknya teruskan usaha beri pencerahan serta menangkis tohmahan terhadap perjuangan Pas,” katanya.

Iskandar bagaimanapun mahu ahli Pas manfaatkan semaksimum mungkin sumber manusia dalam parti, untuk menjana kekuatan dan bangunkan parti sebagai gerakan Islam serta politik yang hebat.

“Mesti dalam keadaan siap siaga seterusnya bekerja keras untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen dan memimpin empat negeri,” katanya.

Pemuda PAS Negeri Sembilan tawar pendidikan percuma



Pemuda PAS Negeri Sembilan tawar pendidikan percuma kepada adik beradik yatim piatu - Harakah 21 Ogos 2017


Selamat Menyambut Hari Raya Idil Adha

Selamat Menyambut Hari Raya Idil Adha daripada PAS Kawasan Rembau



Ahad, 13 Ogos 2017

Khamis, 10 Ogos 2017

Video Laporan Polis PAS Rembau isu Dewan Agora Majlis Daerah Rembau





Mereka yang tidak menghargai sejarah

Mereka yang tidak menghargai sejarah


Rumah bersejarah terbiar
Berita Harian 14 Jun 2010 .

REMBAU: Rumah UMNO bahagian Rembau terbiar sepi selepas pusat perkhidmatan masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chembong dan Ahli Parlimen Rembau berpindah ke tempat lain.

Banglo separuh batu dan kayu dua tingkat ini dianggap bersejarah kerana pernah menempatkan Kelab Melayu Rembau pada 1948 dan digunakan sebagai Undang Rembau English School (URES) serta Dato Abdullah School (DAS) pada 1950-an, yang kemudian berpindah ke bangunan sekarang. Rumah itu dikatakan kosong selepas Pilihan Raya Umum ke-12 menyebabkannya itu terbiar sepi walaupun ada nilai sejarah. Tinjauan mendapati terdapat bil Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) RM300 atas nama Setiausaha Rumah UMNO Rembau, yang sudah meninggal dunia dan bil Tenaga Nasional Bhd (TNB) RM100 atas nama Pejabat Ahli Parlimen Rembau, terselit pada pintu pagar rumah itu.

Seorang penduduk, Ramli Abdullah, 65, berkata bangunan itu tidak sepatutnya ditinggalkan.

Katanya, bangunan yang mempunyai nilai sejarah berkaitan orang Melayu dan institusi pendidikan di daerah ini perlu dijaga.

“Saya bimbang rumah ini akan reput dan roboh menyebabkan kita kehilangan bangunan yang sepatutnya dipertahankan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, pemilik bangunan itu perlu melakukan penyelenggaraan atau menyewakannya.

Beliau khuatir tanpa usaha itu, bangunan berkenaan digunakan pihak tidak bertanggungjawab atau menjadi sarang haiwan berbisa.

Veteran UMNO, Aris Abu, 71, mencadangkan UMNO menjadikan bangunan itu sebagai galeri atau muzium mini sejarah Rembau atau UMNO Rembau.

“Saya tidak setuju bangunan ini dirobohkan kerana nilai sejarahnya. Ia patut dijadikan mercu sejarah perjuangan politik UMNO Rembau dan institusi pendidikan daerah ini,” katanya.

Beliau berkata, sejarah pendidikan Melayu daerah ini bermula di situ, malah UMNO Rembau pernah beroperasi di situ menyebabkan pihak berkenaan perlu mengambil inisiatif memuliharanya.


Rabu, 9 Ogos 2017

Macam ada yang tak kena




Macam ada yang tak kena
10 Ogos 2017

REMBAU – Pemuda Pas Kawasan Rembau membuat laporan polis berhubung  kelemahan Majlis Daerah Rembau (MDR) dalam projek pembinaan Dewan Agora, di sini, sepertimana laporan Ketua Audit Negara 2016.

Exco Penerangan Pas Kawasan Rembau, Izamri Med berkata, laporan itu dibuat bagi memastikan kelemahan membabitkan penggunaan dana pembelian kemudahan dewan tidak berulang.

Dalam laporan audit itu, katanya, semakan terhadap baucar bayaran muktamad 31 Disember 2015 mendapati bayaran dibuat terhadap kipas siling yang tidak dibekalkan melibatkan sejumlah kira-kira RM24,450.

“Tiada dokumen arahan perubahan kerja dan senarai semak kecacatan bangunan dikepilkan bersama baucar bayaran itu oleh MDR. Semasa persidangan pada 5 Januari lalu, perunding projek memaklumkan lukisan as per built drawing masih belum disediakan.

“Malah, dalam penyata kerja dikepilkan bersama baucar bayaran, ruangan terbuka dewan perlu dipasang dengan dua unit lampu 250w HID metal halide low bay recess. Bagaimanapun, pemeriksaan audit mendapati dua unit lampu yang dipasang adalah daripada jenis kalimantang,” katanya.

Selain itu, katanya, semakan bagi ringkasan tuntutan bayaran muktamad perunding yang dibekalkan untuk 28 pembesar suara pelbagai jenis dan saiz, melibatkan jumlah RM9,400.

Katanya, pemeriksaan audit pada 1 Disember 2016 mendapati sebanyak lapan set pembesar suara (jenis 200w compact array speaker dan 6w pembesar suara siling) tidak dibekalkan.

“Malah, hanya empat set pembesar suara (30w universal boz speaker dan set heavy duty speaker stand) dibekalkan kepada dewan itu.

"Bayaran dibuat terhadap 24 set pembesar suara yang tidak dibekalkan melibatkan jumlah RM8,200.28.

“Kami mahu pihak berkaitan mengambil tindakan. Siasat perkara ini supaya tak jadi ketirisan lagi sebab ini menggunakan dana rakyat.

“Seharusnya pihak berkenaan tak mudah guna dana rakyat untuk perkara yang tak sepatutnya dibekalkan kepada dewan orang ramai. Kami harap perkara ini dapat tindakan sewajarnya,” katanya di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, malam kelmarin.

Turut hadir membuat laporan polis berkenaan, Ketua Pemuda Pas Kawasan Rembau, Azmil Ibrahim dan wakil Pas Kawasan Rembau, Ishak Omar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan.