Ubah suai rumah tanpa kebenaran
7 Ogos 2017
REMBAU – “Saya dah buat aduan sejak hujung Mac lagi, pelan
tak lulus tapi tengok-tengok rumah jiran dah jadi tiga tingkat,” luah Tan Khek
Ling, 61, ketika ditemui di kediamannya di Desa Permai Pedas, di sini, semalam.
Khek Ling berkata, sepanjang dia menetap di taman perumahan
berkenaan lebih 20 tahun lalu, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan
jirannya, namun terkejut secara tiba-tiba jirannya mendirikan tembok batu
bersebelahan pagar rumahnya.
Menurutnya, tidak lama kemudian tembok berkenaan semakin
tinggi binaannya dan ia pada mulanya disangka pagar, rupa-rupanya adalah binaan
rumah tiga tingkat.
“Saya bimbang dan tak senang duduk. Setahu saya kalau
menetap di taman perumahan, bukan boleh suka-suka hati buat binaan tambahan
sehingga boleh ganggu keselesaan penduduk dan membahayakan kediaman jiran.
“Binaan rumah ini yang terlalu rapat dengan pagar rumah saya
menghalang cahaya matahari pagi masuk ke rumah saya. Selain itu, dua batang
pokok di belakang rumah jiran yang begitu tinggi juga dikhuatiri akan tumbang
ke rumah saya,” katanya.
Khek Ling berkata, susulan masalah berkenaan dia membuat
laporan secara rasmi kepada Majlis Daerah Rembau (MDR) sejak penghujung Mac
lalu dengan bantuan rakan yang juga pesara kerajaan.
Menurutnya yang bekerja sebagai mekanik, pada April pihak
MDR telah memberi maklum balas kepadanya secara rasmi, dengan menyatakan
Bahagian Penguatkuasaan MDR telah mengeluarkan Notis Sebelum Tindakan, supaya
kerja-kerja pembinaan tanpa kelulusan itu dihentikan segera.
“Walaupun begitu, saya terkejut kerja-kerja masih
diteruskan. Sehingga kini dah lima kali saya berulang-alik ke MDR bagi
mengemukakan aduan. Kini rumah ini sudah
pun menjadi bangunan tiga tingkat.
“Ada rakan yang menyuruh saya mengambil tindakan
undang-undang dengan melantik peguam. Namun bagi saya undang-undang sedia ada
di bawah MDR sudah jelas menyatakan kerja-kerja menambah binaan rumah di taman
perumahan perlu mengemukakan pelan terlebih dahulu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan