Sinar Harian 7 April 2013
REMBAU – Barisan kepimpinan Pas Dun
Kota berasa kesal dan kecewa apabila beberapa lokasi yang berpotensi
dibangunkan sebagai lokasi bersejarah khususnya di daerah Rembau
tidak diberikan perhatian sewajarnya.
Penyelaras Pas Dun Kota, Ghazali Mohd
Som berkata, antara lokasi yang telah dikenal pasti ialah lokasi
kubur dipercayai menempatkan peneroka asal Kampung Penajis, dekat
sini, iaitu Datuk Najuh.
Menurutnya, atas dasar itu, pihaknya
telah menjalankan satu program gotong-royong di lokasi berkenaan bagi
membersihkan kawasan yang menempatkan enam kubur lama.
“Kita harap lokasi ini akan dapat di
naik taraf oleh pihak berkaitan memandangkan ia menjadi lokasi
bersejarah terutamanya tempat atau perkampungan ini merupakan tempat
pertabalan empat orang Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan bermula
dari Yamtuan Besar pertama iaitu Raja Melewar pada tahun 1721 Hijrah
hinggalah Yamtuan Sati pada tahun 1826 H.
“Malah, nama kampung ini iaitu
Penajis juga menimbulkan persoalan kerana mengikut catatan Tun Seri
Lanang (1612), tempat ini disebut sebagai Penajuh. Resende (1638)
pula menamakan sebagai Panagim, manakala, Gabenor Belanda di Melaka,
Bort (1678) telah menamakan lokasi berkenaan dengan tiga versi ejaan
iaitu Panagie, Pannage dan Pannagie,” katanya ketika ditemui Sinar
Harian di lokasi kubur tersebut, baru-baru ini.
Ghazali berkata, Sungai Penajuh atau
Panagim itu merupakan nama sungai yang mengalir dari pendalaman
Rembau dan Kuala Penajuh atau Kuala Linggi merupakan pintu masuk
peneroka Sumatera ke Rembau dan Naning sejak abad ke-12 hingga ke-17.
“Bagaimanapun, nama Penajuh atau
Penagim telah ditukar kepada Linggi oleh Kerajaan Inggeris. Dalam
bahasa Sanskrit, Tajeh berasal dari suku kata Taj yang bermaksud
mahkota. Jadi berkemungkinan Penajeh bermaksud orang yang memakai
mahkota atau orang yang dimahkotakan.
“Oleh itu, kita harap agar nama
kampung ini dapat ditukar ke Penajuh atau Penajeh supaya ianya
bersesuaian dengan sejarah asal kampung ini.
Sementara itu, seorang penduduk
kampung, Abdul Rahman Ahmad, 72, berkata, lokasi berkenaan
sememangnya diketahui penduduk kampung sebagai lokasi peneroka asal
kampung berkenaan, namun ianya tidak dijaga dan terbiar begitu
sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan