PAS DUN KOTA

PAS DUN KOTA

Khamis, 9 November 2017

Usah beri janji palsu



Usah beri janji palsu
Sinar Harian 10 November 2017

REMBAU – Tersenarai sebagai salah satu daripada empat projek hospital sakit, penduduk kembali menagih janji untuk memanfaatkan kemudahan Hospital Rembau yang diumumkan projek pecah tanahnya sejak PRU 12 lagi iaitu pada 2008.

Projek berkenaan dijadualkan siap 8 September tahun lalu, namun kini dijangka siap pada 29 Disember ini di mana ia sudah lewat sebanyak 477 hari daripada jadual.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi tapak pembinaan Hospital Rembau mendapati, kawasan itu kini sudah menampakkan tanda positif.

Menurut Satariah Hashim, 63, yang menetap di Desa Permai Pedas, penduduk di daerah ini sememangnya memerlukan kemudahan hospital lebih-lebih lagi yang menawarkan perkhidmatan wad bersalin.

“Saya sendiri pernah berhadapan dengan pengalaman kenalan nyaris melahirkan anak dalam kenderaan ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban. Masa tu hanya ALLAH yang tahu perasaan kami. Mujurlah bayi tu  keluar sebaik sampai di hospital.

“Walaupun kenangan itu dah dua tahun berlalu, tapi ia tetap jadi pengalaman ngeri buat saya. Saya sangat berharap agar Hospital Rembau ni dapat disiapkan. Dah sembilan tahun projek pecah tanah dilakukan,” katanya ketika ditemui berhampiran Tapak Pembinaan Hospital Rembau, di sini, petang kelmarin.

Kata Satariah, dia sangat berharap agar projek Hospital Rembau itu tidak hanya menjadi janji palsu sempena PRU14 tidak lama lagi.

“Janganlah tipu lagi penduduk Rembau. Dah berapa kali PRU penduduk dijanjikan kata hospital siap, digula-gulakan dengan janji palsu,” katanya.

Sementara itu, bagi penduduk Taman Sedia Raja, Chembong, Mohd Nasharuddin Mohamad, 48, berkata, pada PRU sebelum ini kawasan tapak pembinaan hospital berkenaan ditutup dengan pagar dan penduduk tidak dapat melihat sebarang perkembangan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, tempat tinggalnya terletak berhampiran dengan kawasan pembinaan membolehkan dia melihat terdapat tanda-tanda projek Hospital Rembau akan dibuat.

“PRU13 baru naik sikit-sikit. Baru kami nampak. Kini kami bergantung pada tarikh yang terpapar di papan tanda projek kat luar ini. Sekarang ni penduduk di daerah ini makin ramai.

“Di Dun Chembong banyak taman perumahan, institusi kemahiran seperti IKTBN, ILP dan lain-lain lagi. Kalau siap Hospital Rembau ni memang terbaiklah untuk rakyat di sini. Penduduk di Dun Rantau pun boleh datang untuk dapatkan rawatan di hospital ini," katanya.

Mohd Nasharuddin berkata, penduduk sebelum ini mendapatkan rawatan di HTJ dan agak jauh terutamanya bagi yang kurang berkemampuan.

“Oleh itu, memang jadi harapan kita agar projek ini akan dapat disiapkan sepenuhnya mengikut tarikh terbaru dipaparkan,” katanya.

Sinar Harian 12 Julai lalu melaporkan projek pembinaan Hospital Rembau telah siap sebanyak 68 peratus.

Masalah teknikal  jadi punca

Wakil Pegawai Penguasa Utama Pasukan Projek Khas (Bangunan) Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur, Rohaya Abdul Mois berkata, berdasarkan jadual projek berkenaan harus mencapai peratus siap sebanyak 98 peratus berbanding 68 peratus.

Bagaimanapun menurutnya, kelewatan sebanyak 30 peratus siap projek berlaku susulan mengalami masalah teknikal membabitkan reka bentuk di peringkat awal.

“Terdahulu JKR telah mengambil tindakan menamatkan perkhidmatan perunding sebelum ini. Kali ini kontraktor dilantik menunjukkan komitmen yang tinggi bagi mencapai sasaran siap projek pada 29 Disember ini.

“Pihak kontraktor melalui taklimat akan berusaha mencapai sekurang-kurangnya enam peratus pada setiap bulan bagi projek pembinaan Hospital Rembau ini supaya siap mengikut tempoh ditetapkan,” katanya sempena Lawatan Kerja ke Hospital Rembau, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli; Adun Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris; Pengarah Kesihatan negeri, Dr Zainuddin Mohd Ali; Pegawai Daerah Rembau, Amino Agos Suyub; Pengarah Operasi SEIE Engineering Sdn Bhd, Zafirul Shahabudin.

Rohaya berkata, projek Hospital Rembau berkenaan dijangka akan siap serta mula beroperasi pada pertengahan tahun hadapan.

Untuk rekod, majlis pecah tanah Hospital Rembau dilaksanakan pada tahun 2008.

Projek pembangunannya dengan kapasiti 76 katil, dibina di tanah berkeluasan 19.4 hektar yang terletak di Chembong, Rembau dengan kos hampir RM97 juta.

Tambahan sebanyak RM12 juta bakal diusulkan, dengan pembinaan projek ini dikendalikan Pasukan Projek Khas (Bangunan) Ibu Pejabat JKR Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan