PAS DUN KOTA

PAS DUN KOTA

Khamis, 9 November 2017

Rumah kos rendah vs kompleks sukan belia, apa Umno utamakan?

Rumah kos rendah vs kompleks sukan belia, apa Umno utamakan?
KHAIRUL YAZMAN YAHYA


TAHNIAH dari kami Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan ucapkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar atas pelaksanaan projek kompleks belia dan sukan di Rembau, sesuai peranannya sebagai Ahli Parlimen Rembau dan yang menaungi belia dalam ehwal belia dan sukan negara. Biarpun ia diumum tahun lalu, namun kita tetap mengharapkan projek dilaksanakan sebaiknya mengikut jadual.

Projek ini telah dimulakan pada November tahun lalu dan ia termasuk dalam perancangan di bawah Kementerian Belia dan Sukan, menariknya sasaran dijangka siap akhir 2018 dengan kos pembinaan RM27 juta.

Kompleks ini akan dilengkapi dengan padang sintetik, balapan, dewan yang boleh memuatkan enam gelanggang badminton atau 1,500 orang untuk satu-satu masa.

Selain itu akan ada juga dua gelanggang futsal, dua gelanggang sepak takraw, sebuah gelanggang bola keranjang dan sebuah gelanggang bola jaring.

Kami di Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan ingin menimbulkan sedikit pertanyaan sama ada kemajuan projek yang disasarkan pada 2018 ini mengikut rancangan atau sebaliknya nanti akan 'delay' di samping akan menyebabkan kos tambahan dibuat akibat kelewatan siap.

Seperkara yang lebih penting lagi, kami ingin mengajukan soalan di mana perancangan pihak belia khasnya Khairy selaku Ketua Pemuda Umno dalam memastikan belia di Rembau khasnya dan Negeri Sembilan ini amnya dapat memiliki rumah kediaman memandangkan bilangan anak muda atau belia yang tidak memiliki rumah kini semakin meningkat akibat harga rumah yang ditawarkan di negeri ini oleh pemaju meningkat terlalu mendadak.

Antara kawasan yang dikenal pasti menawarkan harga rumah 'mampu lihat' di Seremban, Senawang dan Sendayan di mana rata-rata harga kini melebihi RM500,000 untuk rumah dua tingkat dan RM300,000 untuk rumah setingkat. Sementara projek rumah kos rendah amatlah kurang akibat sikap pemaju yang lebih memikirkan soal keuntungan. Ia memaksa anak muda khasnya mereka yang berpendapatan rendah di negeri ini hanya menyewa rumah dengan kadar sewa pun kini telah meningkat di samping mereka berdepan kos sara hidup yang terlalu tinggi.

Kami ingin bertanyakan kepada Khairy di mana peranan beliau selaku menteri belia dan Ketua Pemuda Umno dalam memastikan anak muda di negeri kelahirannya ini mampu memiliki rumah setidak-tidaknya rumah kos rendah pada kadar harga munasabah.

Kami juga menggesa pihak terbabit segera membincangkan isu perumahan anak muda di negeri ini selain menyelesaikan isu projek Rumah Generasi Kedua Felda (PGBF)  yang dilihat tertangguh lama di zaman Tan Sri Isa Samad menerajui Felda.

Setakat ini kami tidak nampak apa-apa perancangan Kerajaan Umno BN dalam melihat Program Rumah Awam Harga Rendah (RAHR) dijadikan keutamaan khasnya dalam melihat hala tuju perumahan khususnya untuk anak-anak muda negeri ini yang kurang berkemampuan di masa hadapan.

Mara Menuju Cita
Sejahtera Bersama Islam
KHAIRUL YAZMAN YAHYA
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan


Tiada ulasan:

Catat Ulasan