Nahas gara-gara jalan rosak
11 Julai 2017
REMBAU - Bukan sekali, tetapi sudah tiga kali penunggang
motosikal kemalangan gara-gara jalan Kampung Relong, di sini, yang rosak dan
tidak rata sejak lebih tiga bulan lalu.
Tinjauan Sinar Harian ke lokasi berkenaan mendapati
kebimbangan orang ramai berasas apabila bukan hanya di satu lokasi jalan rosak,
bahkan terdapat lebih empat lokasi di laluan pintas penduduk dari Penajis
menuju ke Mampong berkenaan.
Menurut Amirul Shahadan Jefrid Zain, 16, pada petang Jumaat
lalu, kakaknya ditimpa malang susulan terlanggar lubang di jalan rosak
perkampungan berkenaan yang terletak berdekatan sebuah surau lama.
“Kakak terima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital
Tampin susulan mengalami kecederaan di muka dan atas matanya juga terpaksa
dijahit.
“Rupa-rupanya bukan hanya kakak yang kemalangan di lokasi
sama, memandangkan ada penduduk yang beritahu terdapat dua lagi kejadian serupa
sebelum ini sejak jalan berkenaan rosak Mac lalu,” katanya kepada Sinar Harian
ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, kelmarin.
Bagi seorang lagi orang awam yang ditemui, Sulaiman Daud,
46, jalan berkenaan sering digunakan bukan hanya penduduk Kampung Relong,
bahkan penduduk yang menetap di kampung berhampiran sehinggalah ke Sawah Raja.
Ujarnya, jalan tersebut adalah jalan pintas ke Mampong,
Rembau dan sewajarnya laluan berkenaan dinaik taraf bagi kemudahan penduduk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan