Masjid berkunci sukarkan jemaah
Wartawan Sinar Harian
5 Julai 2017
REMBAU - Orang awam yang menjadikan masjid sebagai tempat persinggahan
terutamanya semasa masuknya waktu solat rasa kesal apabila masjid yang
seharusnya terbuka menerima kedatangan jemaah dikunci.
Orang awam, Rozmal Malakan, 52, berkata, dia ada menerima
aduan berkaitan masalah itu sehingga menyebabkan jemaah yang hadir pada waktu
solat Maghrib terpaksa solat di koridor sahaja.
Menurutnya, sewajarnya masalah itu tidak berlaku dan setiap
kali masuknya waktu solat, kemudahan masjid yang disediakan haruslah terbuka
menerima kedatangan jemaah.
“Setakat ini kita sudah terima aduan masjid berkunci semasa
masuknya waktu solat di dua masjid kariah di daerah ini. Kita harap masalah ini
tidak berulang memandangkan masih ada penduduk serta orang awam yang dalam
perjalanan singgah ke masjid apabila masuknya waktu solat.
“Kita faham sekiranya waktu selepas solat fardu berjemaah
masjid dikunci bagi mengelakkan kejadian kecurian, namun pada masa masuknya
waktu solat, masjid dikunci adalah tak sesuai,” katanya.
Rozmal berkata, dia berharap pihak bertanggungjawab
memandang serius permasalahan ini dan mengambil langkah penyelesaian bagi
memastikan masjid dapat diimarahkan pada waktu solat.
Katanya, jawatankuasa masjid bolehlah meletakkan amanah
memegang kunci bukan hanya kepada imam atau satu individu, bahkan kepada lebih
dari seorang bagi memastikan masjid dapat dibuka tepat pada waktunya.
“Jika ada beberapa halangan, mereka boleh melantik
sukarelawan terdiri daripada masyarakat setempat yang masih muda untuk
melakukan kerja membuka masjid dan azan di masjid.
“Kita harap semua pihak akan dapat menyelesaikan masalah ini
demi kebaikan bersama,” katanya.
Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, Pejabat Agama Islam
Daerah (PAID) Rembau sudah sedia maklum mengenai aduan secara tidak rasmi
berkenaan, susulan ia telah dimuat naik di Facebook seseorang.
Sebagai langkah awal, PAID Rembau akan mengesahkan kebenaran
dakwaan tersebut dengan memanggil jawatankuasa masjid yang dimaksudkan dan
melakukan siasatan.
Sebanyak 42 masjid terdapat di daerah ini dan aduan seumpama
itu baru pertama kali diterima PAID Rembau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan