PAS DUN KOTA

PAS DUN KOTA

Rabu, 25 Oktober 2017

Tumpang tidur di serambi rumah




Tumpang tidur di serambi rumah
26 Oktober 2017

REMBAU – Sepasang suami isteri termasuk tujuh anak reda dan bersyukur dapat menumpang teduh dengan tinggal di serambi rumah pusaka keluarga di Kampung Batang Nyamor, di sini, sejak awal tahun lalu.

Abdul Latif Abd Ghani, 46, berkata, sebelum ini mereka sekeluarga menyewa rumah di perkampungan yang sama, namun disebabkan mengalami masalah kewangan, mereka tidak mampu untuk membayar sewa sebanyak RM250 sebulan.

Menurutnya yang hanya bekerja kampung, dia akhirnya nekad pulang ke rumah pusaka keluarga berusia lebih 50 tahun yang kini didiami kakaknya sekeluarga.

“Mujur kakak bagi kami tinggal di sini walaupun hanya di serambi rumah saja. Kakak juga ada keluarga dan anak-anak yang menetap bersama.

“Jadi, untuk ruangan saya, isteri dan anak-anak bermula dari serambi ini. Saya juga tumpang bekalan air serta elektrik dari rumah kakak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Jalan Hulu Kampung Batang Nyamor, baru-baru ini.

Abdul Latif berkata, dia kini tinggal bersama isterinya Nor Juliana Alias, 37, bersama tujuh lagi anak berusia satu tahun hingga 16 tahun.

Ujarnya, dia belum pernah membuat permohonan rasmi kepada JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) untuk memohon bantuan rumah dan hanya menyatakan secara tidak rasmi sahaja.

Menurutnya, buat masa ini mereka sembilan beranak akan tidur di serambi rumah dan menjadikan ruang di hadapan tangga serambi sebagai dapur.

“Tandas pula memang ada di luar rumah. Adik-beradik ada bagi duit sikit-sikit tapi mereka juga seperti saya tak ada modal yang besar untuk bina sebuah rumah.

“Jadinya saya hanya tanam tiang dulu dan sikit-sikit nak buat rumah. Saya sangat berharap jika ada pihak sudi beri bantuan untuk saya siapkan binaan rumah ini," katanya yang mempunyai lima anak perempuan dan dua lelaki ini.

“Kalau rumah ini disiapkan dan dimasukkan air serta elektrik, saya sangat berterima kasih dan bersyukur kepada semua yang membantu,” katanya.

Ujarnya, dia juga menerima bantuan bulanan persekolahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bernilai RM350 sebulan bagi anak-anaknya yang bersekolah.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Batang Nyamor, Syamsul Azman Jaapa ketika dihubungi berkata, pihaknya masih belum menerima permohonan secara rasmi daripada Abdul Latif.

Bagaimanapun menurutnya, Abdul Latif boleh mengisi borang permohonan rumah dan pihaknya akan mengetengahkan permohonan berkenaan kepada agensi berkaitan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan