Bila sebenarnya Hospital Rembau akan siap?
RUSILAH MD SOM
23 Oktober 2017
REMBAU: Hospital Daerah Rembau yang telah tertangguh
jangkaan siap sebenar pembinaannya beberapa kali terus kekal menjadi teka-teki.
Terbaru Menteri Kesihatan, Dato' Dr S. Subramaniam pula
menyatakan kontraktor yang dilantik mengalami kekurangan modal dan hanya
dijangka siap pada tahun 2020.
Sedangkan sebelum ini, hospital yang dibina pada 2013 dan
dijangka siap pada 2016 itu telah diumumkan Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato'
Sri Ir Dr Roslan Md Taha hanya dapat disiapkan pada 2017.
Perubahan tarikh itu katanya, disebabkan berlaku
penstrukturan baru asas bangunan yang menggunakan sistem IBS dan kontraktor
baru perlu dilantik.
Bahkan selepas itu ia terus diselubungi kontroversi apabila
Menteri Besar, Dato' Seri Mohamad Hasan memaklumkan pembinaannya tertangguh dan
dijangka siap tahun 2018.
Malah, beliau sendiri yang melakukan perletakan batu asas
pembinaan hospital tersebut pada 7 Mac 2008 dahulu melibatkan tanah seluas 19.4
hektar di Chembong, di sini dengan kos RM100 juta.
Pembinaan hospital ini sememangnya amat mendesak berikutan
pertambahan pesakit di daerah itu yang kini hanya mendapatkan perkhidmatan
melalui Klinik Kesihatan Rembau.
Pada ketika ini jumlah pesakit yang mendapatkan perkhidmatan
di klinik tersebut dikatakan mengalami pertambahan sebanyak 30 peratus.
Tinjauan mendapati, penduduk daerah ini enggan mendapatkan
rawatan lanjut atau rawatan pakar di Hospital Tampin atau Seremban kerana
kekangan kos. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan