Jejak penyamun guna telefon
Sinar Harian
25 Mei 2016
REMBAU - Dua penyamun ditahan kira-kira enam jam selepas
menceroboh sebuah rumah, setelah mangsa berjaya menjejaki suspek menerusi
aplikasi Find my Iphone di Kampung Rendah, di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, tujuh sekeluarga
terbabit baru sahaja masuk ke dalam bilik masing-masing untuk tidur dan hanya
disedari oleh si ibu berusia 57 tahun sebaik bangun untuk menunaikan solat
Subuh pada jam 5.30 pagi.
Menurut sumber, dipercayai penyamun itu telah memecah masuk
melalui pintu utama rumah dan mencuri lima telefon bimbit pelbagai jenama
termasuk Iphone, seutas jam tangan serta wang tunai berjumlah kira-kira
RM1,500.
“Malah, penyamun berkenaan juga sempat makan di dapur rumah
mangsa sebelum meninggalkan rumah dipercayai bagi tujuan pukau. Susulan insiden itu, keluarga terbabit
mengalami kerugian kira-kira RM15,000.
“Sebaik menyedari rumah mereka dimasuki penyamun, anak
lelaki mangsa bertindak kesan lokasi telefon bimbitnya jenis Iphone dan
mengajak beberapa rakannya untuk menjejaki penyamun berkenaan,” katanya,
semalam.
Sumber berkata, hasil aplikasi itu berjaya membawa mangsa ke
sebuah rumah tidak bernombor di kampung berdekatan dan mangsa segera
menghubungi polis bagi meminta bantuan menangkap penyamun berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi
Superintenden Ibrahim Sharif berkata, bertindak berdasarkan maklumat mangsa,
sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Rembau, anggota balai Chembong
dan Rembau berjaya menangkap dua lelaki dalam sebuah rumah.
Menurutnya, dua lelaki berusia 38 dan 32 tahun itu adalah
penganggur dan polis turut menemui dalam rumah berkenaan pelbagai jenis telefon
bimbit, barangan kemas serta lain-lain lagi dipercayai merupakan barangan curi.
“Ketujuh-tujuh barangan yang hilang dari rumah keluarga
terbabit turut berjaya dijumpai dalam rumah berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek yang berusia 32 tahun dan
berasal dari Seremban mempunyai empat rekod kesalahan lampau di mana dua
daripadanya membabitkan kes pecah rumah, dan masing-masing satu bagi kesalahan
menghalang penjawat awam serta berkaitan dadah,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan
kedua-dua suspek kini ditahan reman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan