PAS DUN KOTA

PAS DUN KOTA

Selasa, 10 Mei 2016

Bimbang air melimpah masuk kedai



Bimbang air melimpah masuk kedai
11 Mei 2016


KOTA – Peniaga di Pekan Kota, di sini, berasa bimbang apabila air bertakung berhampiran premis perniagaan mereka lebih-lebih lagi semasa hujan lebat berisiko untuk melimpah masuk ke dalam kedai.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi mendapati takungan air berkenaan terjadi susulan jalan yang diturap tidak rata dan lebih tinggi bagi projek pembangunan baru sehingga menyebabkan air bertakung berhampiran premis rumah kedai.

Menurut peniaga, Yuu Yoe Lan, 55, masalah itu bukannya baru sebulan dua berlaku bahkan sudah berlanjutan sejak pertengahan tahun lepas lagi sehingga ada pihak datang untuk melihat aduan telah dibuat penduduk.

“Masa projek berkenaan siap lagi saya sudah cakap pada pekerja projek tindakan mereka menurap jalan lebih tinggi di bahagian tengah akan menyebabkan air bertakung berhampiran bangunan rumah kedai.

“Tapi tiada sebarang tindakan sehinggalah apa yang saya risaukan berlaku air takungan hampir melimpah masuk ke dalam kedai,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi, di sini, semalam.

Yoe Lan berkata, walaupun hujan tidak sampai sejam, namun sekiranya lebat air yang bertakung sudah melimpah sehingga ke hadapan kedai dan hanya menunggu masa sahaja melimpah ke dalam kedai.

Menurutnya, kedainya yang paling berisiko mengalami kerugian kerana terletak betul-betul bersebelahan dengan takungan air lebih-lebih lagi dia menjalankan perniagaan perabot.

“Bayangkanlah jika air takungan melimpah masuk, semua perabot rosak dan tentunya saya akan mengalami kerugian yang besar. Saya harap pihak bertanggungjawab iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat meratakan kembali laluan ini bagi mengelakkan air bertakung di sebelah kedai.

“Bukan hanya bimbang air melimpah masuk ke kedai tetapi takungan air ini juga berpotensi untuk menjadi tempat biak Aedes," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan