PAS DUN KOTA

PAS DUN KOTA

Khamis, 7 April 2016

Pulihara meriam usia 500 tahun



Pulihara meriam usia 500 tahun
7 April 2016



LUBOK CHINA – Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) telah menjalankan kajian mengenai meriam Dato’ Shahbandar Haji Mat Seth yang terletak di Kampung Nerambai, di sini, yang dianggarkan berusia lebih 500 tahun.

Sinar Harian 14 Mac lalu melaporkan empat meriam lama dipercayai milik Datuk Shahbandar pada zaman dahulu kala kini hanya terbiar begitu sahaja dan dikelilingi semak-samun.

Penolong Kurator Unit Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah Bahagian Antikuiti LMNS, Mohd Nazim Abd Gaman berkata, LMNS sentiasa proaktif dalam menginventorikan sebarang peralatan sebagai warisan bersejarah di negeri ini lebih-lebih lagi kewujudan meriam berkenaan.

“Oleh itu, kita telah menjalankan kajian dengan merujuk buku bertajuk Konservasi Artifak Meriam Sejarah terbitan Jabatan Muzium Malaysia. Melalui maklumat di dalam buku itu, meriam terbahagi kepada dua jenis iaitu meriam itu sendiri dan lela lantaka.

“Berdasarkan penelitian dijalankan termasuk melalui temubual bersama waris Dato’ Shahbandar iaitu Rosyatimah Shamsudin, kita mendapati meriam ini adalah jenis meriam British,” katanya kepada Sinar Harian.

Nazim berkata, meriam kolonial yang digunakan sebagai pertahanan, amaran dan komunikasi adalah peninggalan penjajah Portugis, Belanda dan British manakala meriam Melayu pula adalah lela lantaka.

Menurutnya, lela lantaka pula adalah buatan orang Melayu di mana lazimnya dimiliki oleh golongan bangsawan yang digunakan sebagai senjata peperangan, pertahanan, komunikasi, amaran, lambang kekuasaan, kekayaan dan simbol status lambang kebesaran diraja.

“Meriam ini adalah milik Dato’ Shahbandar Mat Seth iaitu seorang saudagar yang berasal dari Indonesia. Mengikut cerita waris, Dato’ Shahbandar Haji Mat Seth berkahwin dengan Nenek Raja.

“Malah, meriam berkenaan juga tidak boleh dipindahkan sembarangan," katanya.

Untuk rekod, Lubok Cina pada asalnya adalah sebuah pelabuhan sehingga ke Kampung Penajih. Berkemungkinan gelaran Dato’ Shahbandar yang diberikan kepada Haji Mat Seth adalah anugerah daripada Sultan Melaka.

Meriam itu kini terletak dalam tanah milik Allahyarham Puan Jaharah Sudin iaitu ibu kepada Rosyatimah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan