JAMBORI JABATAN AMAL NEGERI SEMBILAN MENGUJAKAN
REMBAU. Jambori Jabatan Amal Negeri Sembilan 2016 telah
diadakan pada 2-3 April bertempat di Solok Sengkuang Cabin D’ Village, Kampung
Batang Nyamor, Kota dalam kawasan Parlimen Rembau.
Program dua hari ini bermula pada pagi Sabtu dirasmi oleh
Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan dan berakhir jam 1.00 tengah hari Ahad dan
ditutup oleh Pengarah jabatan Amal Pusat, Tuan Nazree Aris.
Turut hadir ialan Naib Ketua Jabatan Penerangan Badan
Perhubungan PAS Negeri Sembilan (BPPNS), Ustaz Mohamad Husaini Husin, Pengerusi
Lajnah Kebajikan BPPNS, Tuan Haji Rozmal malakan, Timbalan Ketua Dewan Ulama
Negeri Sembilan, Ustaz Abdul Hadi Mohamad Isa, Yang DiPertua PAS Kawasan
Rembau, Tuan Haji Hassan Tamby, AJK Kawasan, ahli dan penduduk setempat.
Acara mengoca (Menangkap ikan menggunakan tangan) di kolam
lumpur yang disediakan khas oleh pihak Cabin D‘ Village untuk acara ini
merupakan acara yang sangat mengujakan semua para peserta.
Dari riak peserta acara mengoca yang dilaksanakan selapas
asar hari Sabtu itu, anak-anak muda peserta Jambori itu sangat gembira
menangkap ikan di kolam lumpur. Mereka seperti berpesta menangkap ikan dan
tiada yang kelihatannya geli dengan lumpur yang memang tebal di kolam lumpur.
Ada yang berjaya menangkap ikan keli yang sebesar betis dan
hasil mengoca mereka semuanya berbaldi-baldi dan boleh dibuat lauk untuk 100
orang makan malam.
Program mengoca juga mengembalikan nostalgia lama dan
kenangan manis kepada ahli-ahli PAS veteran yang sudi bersama memeriahkan
Jambori ini. Mereka adalah anak kecil tiga-empat dekad lalu yang biasa hidup
dalam suasana sawah bendang dan sungai. Mengoca adalah temasya bagi mereka
untuk bersuka-ria bersama keluarga, sanak-saudara dan teman-teman di desa di kala
itu.
Selain dari mengoca, acara Jambori ini semuanya
menarik-menarik belaka. Peserta diajar dengan kaedah memasang khemah, Slot
Ikhtiar Hidup (Pendawaian domestik), Memanah, Persembahan dan Pertandingan
dalam slot Malam Kesenian Islam, slot Drop Night, senaman pagi, kuliah serta
tazkirah dan pertandingan Khidmat masyarakat.
Menurut Saudara Khairul Yazman Yahya, Pengarah Jabatan Amal
Negeri Sembilan, lebih dari 70 orang telah menyertai Jambori kali ini, tidak
termasuk AJK, pengunjung dan ibubapa. Para peserta tidur dalam khemah di
kawasan lapang yang disediakan.
Dewan Pemuda PAS Kawasan Rembau juga mengambil kesempatan
semasa Jambori ini untuk mengadakan Mesyuarat Agungnya yang ke 13 di dewan yang
disediakan.
Ustaz Mustafa Daharun selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan
mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke atas kejayaan Jambori. Beliau menyeru
semua Pemuda untuk ke hadapan dalam Demontrasi Aman Bantah Program Dwibahasa/
Dual-Languange Programme (DLP) di Dataran Merdeka pada 9 hb April ini pula.
Ramai yang mengucapkan tahniah kerana jambori kali ini hebat
dan sangat unik.
Berita oleh:
Mohamad Husaini al-Nyalasi
25 Jamadil Akhir 1437/ 3 April 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan