PAS DUN KOTA

PAS DUN KOTA

Ahad, 31 Januari 2016

Kuatkan semangat jaga anak



Kuatkan semangat jaga anak
1 Februari 2016


SEREMBAN - Kesempitan hidup tidak menghalang seorang bapa tunggal yang tinggal di rumah pangsa PPR Paroi, di sini, untuk menjaga lima anaknya.

Selepas bercerai dengan isterinya empat tahun lalu, Mohd Ranee Alias, 53, terpaksa mengambil alih tugas sebagai seorang ibu dengan menguruskan semua hal rumah termasuk memasak, mengemas, menghantar dan mengambil anak sekolah setiap hari.

Dia yang tidak mempunyai pendapatan tetap hanya bergantung kepada kerja diberikan kawan-kawan seperti membersihkan kebun, membuat pembaikan, bertukang, atau kerja pembinaan.

Menceritakan kesempitan hidup yang terpaksa dilaluinya, Mohd Ranee berkata, pada tahun lalu, dua daripada lima anaknya tidak ke sekolah.

“Pada pertengahan tahun lalu, anak keempat yang belajar darjah empat terpaksa berhenti sekolah sebab saya tak dapat nak bagi duit belanja.

“Anak bongsu berumur tujuh tahun yang sepatutnya sekolah darjah satu tahun lalu juga tak bersekolah.

“Mujur kakak dan abang-abangnya yang berumur 14, 16 dan 17 tahun pandai simpan duit sendiri, dapatlah mereka gunakan untuk beli makanan di sekolah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua anaknya itu kembali bersekolah seperti biasa, tahun ini.

Menurutnya, walaupun tiada duit yang mencukupi, atas nasihat kawan-kawan dia kuatkan semangat menghantar anaknya ke sekolah.

Namun begitu, katanya, anak bongsunya yang berusia lapan tahun yang sepatutnya berada di darjah dua perlu menduduki kelas darjah satu kerana tidak pernah bersekolah pada tahun lalu.

“Pada bulan Disember lalu saya pernah membuat permohonan di JKM Seremban tetapi, ada pegawai memberitahu saya tidak layak, sebab fizikal saya masih sihat.

“Memang dari segi fizikal saya sihat, tetapi seperti ibu tunggal, tanggungjawab saya sebagai bapa tunggal juga sama beratnya sehingga saya sendiri tak boleh bekerja sepenuh masa untuk menguruskan anak-anak.

“Kalau saya tak kerja, sudah pasti duit untuk beli makanan juga tidak ada,” katanya yang memberitahu bil air dan elektrik rumahnya itu dijelaskan Baitulmal.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan