Kuatkan semangat jaga anak
1 Februari 2016
SEREMBAN - Kesempitan hidup tidak menghalang seorang bapa
tunggal yang tinggal di rumah pangsa PPR Paroi, di sini, untuk menjaga lima
anaknya.
Selepas bercerai dengan isterinya empat tahun lalu, Mohd
Ranee Alias, 53, terpaksa mengambil alih tugas sebagai seorang ibu dengan
menguruskan semua hal rumah termasuk memasak, mengemas, menghantar dan
mengambil anak sekolah setiap hari.
Dia yang tidak mempunyai pendapatan tetap hanya bergantung
kepada kerja diberikan kawan-kawan seperti membersihkan kebun, membuat
pembaikan, bertukang, atau kerja pembinaan.
Menceritakan kesempitan hidup yang terpaksa dilaluinya, Mohd
Ranee berkata, pada tahun lalu, dua daripada lima anaknya tidak ke sekolah.
“Pada pertengahan tahun lalu, anak keempat yang belajar
darjah empat terpaksa berhenti sekolah sebab saya tak dapat nak bagi duit
belanja.
“Anak bongsu berumur tujuh tahun yang sepatutnya sekolah
darjah satu tahun lalu juga tak bersekolah.
“Mujur kakak dan abang-abangnya yang berumur 14, 16 dan 17
tahun pandai simpan duit sendiri, dapatlah mereka gunakan untuk beli makanan di
sekolah,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua anaknya itu kembali
bersekolah seperti biasa, tahun ini.
Menurutnya, walaupun tiada duit yang mencukupi, atas nasihat
kawan-kawan dia kuatkan semangat menghantar anaknya ke sekolah.
Namun begitu, katanya, anak bongsunya yang berusia lapan
tahun yang sepatutnya berada di darjah dua perlu menduduki kelas darjah satu
kerana tidak pernah bersekolah pada tahun lalu.
“Pada bulan Disember lalu saya pernah membuat permohonan di
JKM Seremban tetapi, ada pegawai memberitahu saya tidak layak, sebab fizikal
saya masih sihat.
“Memang dari segi fizikal saya sihat, tetapi seperti ibu
tunggal, tanggungjawab saya sebagai bapa tunggal juga sama beratnya sehingga
saya sendiri tak boleh bekerja sepenuh masa untuk menguruskan anak-anak.
“Kalau saya tak kerja, sudah pasti duit untuk beli makanan
juga tidak ada,” katanya yang memberitahu bil air dan elektrik rumahnya itu
dijelaskan Baitulmal.