Baik pulih segera jalan rosak di Pedas Halal Park
6 September 2017
REMBAU 5 Sept. - Pengguna jalan utama di Pedas Halal Park,
dekat sini terdedah kepada risiko kemalangan kerana laluan tersebut berlubang,
retak serta mendap.
Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan tersebut hari ini
mendapati laluan keluar dari kawasan perindustrian itu juga terpaksa
dilencongkan ke laluan masuk kerana kerosakan teruk pada laluan kiri jalan
utama.
Selain itu, pengguna bukan sahaja terdedah terhadap risiko
kemalangan malah terpaksa memperuntukkan sejumlah wang untuk menyelenggara dan
memperbaiki kenderaan mereka.
Menurut pekerja teknikal Muslim Best Marketing (M) Sdn. Bhd,
Azrul Nizam Ahmad, 34, dia terpaksa memberi sepenuh perhatian setiap kali
melalui jalan utama selain mendakwa hampir terjatuh ketika melalui laluan tersebut.
“Saya terpaksa lebih berhati-hati terutamanya ketika hujan
kerana jalan yang berlubang akan menyebabkan air bertakung dan mengundang
bahaya kepada penunggang motosikal seperti saya.
“Sepanjang sebulan saya bekerja di kawasan ini, sudah
beberapa kali saya hampir terjatuh dari motosikal selain terpaksa mengeluarkan
wang semata-mata mahu membaiki kerosakan kecil akibat melalui jalan tersebut,”
katanya ketika ditemui, di sini.
Tinjauan turut mendapati dakwaan tersebut berasas kerana
permukaan jalan di situ tidak rata dan berlubang.
Keadaan itu diburukkan lagi oleh kegiatan lori membawa
muatan pasir dari kawasan berhampiran yang menggunakan laluan tersebut.
Difahamkan, kerosakan permukaan laluan utama itu sudah
berlarutan beberapa bulan dan tiada sebarang kerja baik pulih dilaksanakan
pihak bertanggungjawab.
Selain itu, pemandu dilihat terpaksa memperlahankan
kenderaan bagi mengelak lubang di tengah-tengah jalan.
Bagi pekerja pentadbiran Muslim Best, Nur Ain Izzati Mazlan,
26, dia yang bekerja di kawasan Pedas Halal Park sejak tiga tahun lalu
mendapati kerosakan jalan di kawasan itu adalah yang paling teruk pernah
berlaku.
“Bagi pihak Pedas Halal Park, Muslim Best telah menghantar
aduan kepada MIDF Property Berhad pada 17 Julai lalu mengenai kerosakan jalan
utama kawasan ini, namun tiada sebarang tindakan susulan diambil dari pihak
berkenaan.
“Justeru kami berharap agar pihak yang bertanggungjawab
segera membaik pulih jalan yang rosak bagi mengelak sebarang perkaran tidak
diingini berlaku,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan