PAS DUN KOTA

PAS DUN KOTA

Khamis, 27 Oktober 2016

Banyak kali hampir kemalangan



‘Banyak kali hampir kemalangan’
28 Oktober 2016


REMBAU - Rata-rata penduduk dan pengguna jalan utama Seremban-Tampin di Pekan Chengkau memohon agar Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil tindakan membuka semula kon penghadang jalan dekat persimpangan masuk ke Astana Raja, kerana ia menyebabkan jalan menjadi sempit, seterusnya boleh berlaku kemalangan.

Seorang penduduk yang ditemui, Nur Azura Nordin, 32, berkata, kon penghadang jalan itu baru diletakkan kira-kira tiga hari lalu, namun, banyak penduduk yang nyaris dirempuh kenderaan dari arah Rembau memandangkan laluan dua lorong bertukar menjadi satu lorong.

“Akak sendiri semalam nyaris dirempuh dari belakang oleh sebuah lori tangki yang tidak menyedari laluan berkenaan sudah diletakkan kon. Mujur tidak dirempuhnya dan akak amat berharap JKR dapat pertimbangkan kembali langkah meletakkan kon ini.

“Langkah ini mungkin diambil bagi mengurangkan kemalangan di persimpangan ini, namun, kon ini di laluan paling laju juga bahaya dan boleh mengundang kemalangan,” katanya ditemui di Pekan Chengkau, di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Fauziah Mustapa, 43, berkata, laluan menunggu untuk masuk ke persimpangan juga kecil iaitu hanya boleh memuatkan kira-kira tiga kenderaan.

“Tak dapat dibayangkan jika banyak kereta ingin masuk ke simpang dalam satu-satu masa mereka mungkin terpaksa lalu jalan jauh memandangkan kon penghadang itu menghalang kenderaan berhenti masuk ke persimpangan,” katanya.

Penduduk, Abidin Abd Manap, 48, berkata, bagi individu yang tidak biasa melalui jalan berkenaan mereka akan membuat brek mengejut dan tiada pilihan selain melanggar kon penghadang jalan itu atau masuk ke laluan di sebelah kiri.

“Jika ada kenderaan lain itu yang kita risaukan berlaku kemalangan atau kehilangan nyawa.  Ini kerana laluan dari arah Rembau menuruni bukit dan kenderaan cenderung laju.

“Malah, kedudukan kon ini juga menyebabkan jalan menjadi sempit lebih-lebih lagi terdapat dua persimpangan dalam jarak 10 meter. Kita harap JKR mengkaji semula kedudukan kon ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Lada, Abd Latip Alias berkata, dia ada menerima aduan daripada penduduk dan akan mengetengahkan masalah itu kepada JKR.

“Lokasi itu sebelum ini memang kerap berlaku kemalangan dan kita harap JKR dapat melebarkan jalan dari arah Rembau memandangkan terdapat dua persimpangan berdekatan sehingga menyebabkan jalan sempit sekiranya kenderaan ingin masuk ke persimpangan," katanya,

Sinar Harian cuba mendapatkan maklum balas daripada JKR Rembau, namun tidak berhasil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan