‘Banyak kali hampir kemalangan’
28 Oktober 2016
REMBAU - Rata-rata penduduk dan pengguna jalan utama
Seremban-Tampin di Pekan Chengkau memohon agar Jabatan Kerja Raya (JKR)
mengambil tindakan membuka semula kon penghadang jalan dekat persimpangan masuk
ke Astana Raja, kerana ia menyebabkan jalan menjadi sempit, seterusnya boleh
berlaku kemalangan.
Seorang penduduk yang ditemui, Nur Azura Nordin, 32,
berkata, kon penghadang jalan itu baru diletakkan kira-kira tiga hari lalu,
namun, banyak penduduk yang nyaris dirempuh kenderaan dari arah Rembau
memandangkan laluan dua lorong bertukar menjadi satu lorong.
“Akak sendiri semalam nyaris dirempuh dari belakang oleh
sebuah lori tangki yang tidak menyedari laluan berkenaan sudah diletakkan kon.
Mujur tidak dirempuhnya dan akak amat berharap JKR dapat pertimbangkan kembali
langkah meletakkan kon ini.
“Langkah ini mungkin diambil bagi mengurangkan kemalangan di
persimpangan ini, namun, kon ini di laluan paling laju juga bahaya dan boleh
mengundang kemalangan,” katanya ditemui di Pekan Chengkau, di sini, semalam.
Seorang lagi penduduk, Fauziah Mustapa, 43, berkata, laluan
menunggu untuk masuk ke persimpangan juga kecil iaitu hanya boleh memuatkan
kira-kira tiga kenderaan.
“Tak dapat dibayangkan jika banyak kereta ingin masuk ke
simpang dalam satu-satu masa mereka mungkin terpaksa lalu jalan jauh
memandangkan kon penghadang itu menghalang kenderaan berhenti masuk ke
persimpangan,” katanya.
Penduduk, Abidin Abd Manap, 48, berkata, bagi individu yang
tidak biasa melalui jalan berkenaan mereka akan membuat brek mengejut dan tiada
pilihan selain melanggar kon penghadang jalan itu atau masuk ke laluan di
sebelah kiri.
“Jika ada kenderaan lain itu yang kita risaukan berlaku
kemalangan atau kehilangan nyawa. Ini
kerana laluan dari arah Rembau menuruni bukit dan kenderaan cenderung laju.
“Malah, kedudukan kon ini juga menyebabkan jalan menjadi
sempit lebih-lebih lagi terdapat dua persimpangan dalam jarak 10 meter. Kita
harap JKR mengkaji semula kedudukan kon ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Lada, Abd Latip Alias
berkata, dia ada menerima aduan daripada penduduk dan akan mengetengahkan
masalah itu kepada JKR.
“Lokasi itu sebelum ini memang kerap berlaku kemalangan dan
kita harap JKR dapat melebarkan jalan dari arah Rembau memandangkan terdapat
dua persimpangan berdekatan sehingga menyebabkan jalan sempit sekiranya
kenderaan ingin masuk ke persimpangan," katanya,
Sinar Harian cuba mendapatkan maklum balas daripada JKR
Rembau, namun tidak berhasil.