PAS DUN KOTA

PAS DUN KOTA

Ahad, 18 September 2016

Ramai masih tak faham RUU 355





Ramai masih tak faham RUU 355
19 September 2016

SENAWANG - Kira-kira 20 peratus sahaja orang Melayu yang didapati benar-benar memahami isu Rang Undang-Undang (RUU) 355 atau Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016, setakat ini.

Demikian pendedahan oleh Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Negeri Sembilan, Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa berdasarkan pemerhatian dibuat selama ini. 

Menurutnya, situasi sedemikian wujud disebabkan persepsi masyarakat beragama Islam sendiri yang menganggap ruang lingkup Mahkamah Syariah sekadar terhad dalam perkara munakahat semata-mata. 

“Bagi kita orang Melayu, Mahkamah Syariah ini (melibatkan) isu nikah, kahwin dan cerai saja. Kalau hendak hangat-hangat sangat pun, itu saja. Tidak ada apa-apa. Itu perspektif yang kita nampak.

“Jadi, kita di peringkat Negeri Sembilan menyahut seruan pihak (Pas) pusat supaya memberikan pencerahan sebenar di sebalik isu RUU 355,” katanya.

Demi mencapai matlamat itu, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Negeri Sembilan berkata, maka pihaknya mengadakan kempen mengenai RUU 355 di Dataran Senawang, di sini, semalam, mulai jam 2.30 petang.

“Tapi dengan adanya kesedaran ini, mungkin sampai satu tahap (nanti) bahawa rupa-rupanya ada di sebalik itu undang-undang (misalnya) berkaitan perjudian dan perzinaan yang harus mereka ambil berat disebabkan implikasinya terhadap mereka sangat besar.

“(Pada masa sama), sekali-sekali penguat kuasa bahagian agama (perlu juga) buat serbuan dan tangkapan kepada (pembeli) nombor ekor. Barulah mereka tahu, rupa-rupanya ada undang-undang.

“Melalui penegasan terhadap RUU 355, mereka akan lebih cakna bahawa undang-undang syariah bukan terhad pada hal nikah kahwin, tapi juga menjangkaui (bab) minum arak, judi, perzinaan, bersekedudukan dan sebagainya,” katanya.

Berbanding Melayu, katanya, penerimaan kaum Cina bukan Muslim terhadap RUU 355 didapati lebih meruncing berikutan sikap persatuan mereka yang berkempen sejak sekian lama, dengan mengatakan RUU 355 itu adalah hudud.

“Kita boleh katakan bahawa 90 peratus dan ke atas orang Cina sangat terpengaruh, mengatakan RUU 355 ini road to hudud.

“(Hakikatnya) mereka tidak faham dengan isu sebenar dan telah dimomokkan dengan perkara yang salah. Mereka menjadikan itu sebagai asbab untuk membenci Pas,” katanya ketika ditemui pada Seminar Budaya Politik Matang dan Sejahtera Zon A (Rasah, Rembau, Teluk Kemang dan Seremban) di Dewan Aspirasi, Lavender Heights, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mustafa Daharun tetap optimis dengan usaha yang mereka lakukan.

“Harapan kita cukup besar agar masyarakat seluruhnya, khususnya yang kuat menentang RUU355 ini (akan) semakin berkurangan. Macam dululah, masa (kewujudan) bank Islam. 

“Apabila mereka melihat kebaikannya, penentangan itu akan reda. Seterusnya, apa yang kita utarakan akan dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan