Kesal khazanah sejarah terbiar
14 Mac 2016
KOTA – Empat meriam lama yang dipercayai milik Datuk
Shahbandar pada zaman dahulu kala, di Kampung Nerambai, Lubok China, di sini
kini terbiar begitu sahaja sejak beberapa tahun lalu.
Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan,
Rozmal Malakan berkata, dia hanya mengetahui terdapat khazanah bersejarah
bernilai tinggi di lokasi berkenaan sebaik diberitahu penduduk setempat setelah
menjalankan program meraikan asnaf bersama DBS Bikers minggu lalu.
Menurutnya, khazanah yang mempunyai nilai sejarah buat
negeri ini khususnya daerah Rembau wajar diberikan perhatian, dipulihara serta
diwartakan bagi memastikan keistimewaan khazanah berkenaan dapat dikongsi
bersama generasi akan datang.
“Sebaliknya, khazanah berupa empat meriam lama di kampung
ini seolah-olah telah dipinggirkan dan dilupakan begitu sahaja. Mengikut cerita yang dimaklumkan penduduk,
khazanah ini milik Datuk Shahbandar yang datangnya dari Melaka selepas Melaka
diserang Portugis.
“Jadi memang menjadi harapan kami agar khazanah sejarah seperti
ini dapat dipulihara dan sejarahnya dikumpul serta didokumentasikan buat
perkongsian dengan masyarakat setempat dan generasi akan datang,” katanya
kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Sementara itu, Rozmal berkata, khazanah bersejarah seumpama
itu mampu untuk menyemarakkan lagi sektor pelancongan memandangkan orang luar
sering mencari khazanah seperti ini sebagai bahan kajian mereka.
Katanya, penempatan yang mempunyai khazanah seperti ini
selalunya menyimpan banyak sejarah silam kehebatan bangsa kita sendiri yang
harus dibuat kajian.
“Malah, kita harap agar khazanah bersejarah seperti ini juga
dapat dijaga dengan baik dan tidak sesekali dicuri dan dijual bagi mendapatkan
keuntungan.
“Oleh itu, kita harap agar pihak bertanggungjawab dapat
memulihara kembali khazanah sejarah ini dan memastikan lokasi ini tidak terbiar
lagi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan