Kunci peti undi, wakil calon PAS didenda RM5,000
7 Dis 2016
PUTRAJAYA, 7 Dis - Mahkamah Rayuan semalam menjatuhi hukuman
denda RM5,000 atau lima bulan penjara terhadap seorang wakil calon PAS, yang
bertanding kerusi negeri semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013, kerana
mengunci peti undi.
Panel tiga anggota dipengerusikan Hakim Datuk Wira
Mohtarudin Baki menjatuhi hukuman itu terhadap Azahari Ismail, 49, setelah
mengembalikan keputusan Mahkamah Majistret Port Dickson yang mensabitkan
kesalahannya.
Azahari bagaimanapun terlepas daripada hukuman penjara
apabila panel itu membenarkan rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah
Majistret menjatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM4,000 atau lima bulan
penjara dan menggantikannya dengan denda RM5,000 atu lima bulan penjara.
Panel itu, yang turut dianggotai Hakim Datuk Tengku Maimun
Tuan Mat dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, mengetepikan keputusan Mahkamah
Tinggi melepaskan Azahari daripada kesalahan itu setelah memutuskan bahawa
rayuan pihak pendakwa mempunyai merit.
“Saya harap perkara seperti ini tidak berlaku lagi,” kata
Mohtarudin.
Azahari bertindak sebagai wakil kepada calon PAS Ramli
Ismail, yang bertanding bagi kerusi negeri Bagan Pinang di kawasan Parlimen
Telok Kemang, Negeri Sembilan. Calon Barisan Nasional (BN) Tun Hairuddin Abu
Bakar memenangi kerusi itu dengan majoriti 6,067 undi.
Pada 9 Julai tahun lepas, Mahkamah Majistret mendapati
Azahari bersalah bagi tuduhan mengunci peti undi dengan menggunakan mangga
'Yunxian' di pusat mengundi di Pusat Latihan Asas Tentera Darat di antara 7
malam dan 7.10 malam pada 30 April 2013.
Pada 19 April tahun ini, Mahkamah Tinggi Seremban melepaskan
Azahari daripada kesalahan itu setelah membenarkan rayuannya untuk mengetepikan
sabitan kesalahannya serta hukuman penjara 10 bulan dan denda RM4,000 yang
dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Majistret.
Timbalan pendakwa raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir
meminta mahkamah mengembalikan keputusan Mahkamah Majistret dengan berkata
perbuatan Azahari itu menyebabkan proses pengiraan undi terganggu.
Dalam hujahnya, peguam Wan Rohimi Wan Daud yang mewakili
Azahari berkata mengunci peti undi tidak bererti mengusik peti undi itu kerana
tiada kerosakan fizikal yang berlaku.
Azahari, yang juga diwakili peguam Hazwan Mohd Nor, membayar
denda itu.
- Bernama