16 Disember 2013
REMBAU – Lima beranak di Kampung Kendong, dekat sini tidak
dapat tidur lena setiap kali hujan lebat berikutan bimbang rumah mereka dinaiki
air.
Halimah Moidin, 54, yang juga seorang ibu tunggal berkata,
masalah berlaku apabila longkang di belakang rumahnya tidak menampung air yang
datang dari pembinaan jalan baru di jalan utama Seremban - Tampin bagi projek
pembinaan landasan kereta api berkembar.
Sejak dua bulan lalu, katanya, limpahan air itu juga
menyebabkan tebing di belakang rumahnya runtuh sedikit demi sedikit sehingga
menghampiri bahagian dapur rumah yang sudah diduduki sejak 20 tahun lalu.
"Bagi mengelakkan perkara tidak diingini, anak saya
meletakkan zink di bahagian luar biliknya yang turut berada di bahagian
belakang rumah sebagai langkah berjaga-jaga.
“Anak saya bimbang dengan kemungkinan jika sedang tidur
bahagian biliknya akan dihanyutkan. Jadi bila terdengar bunyi zink, dia dapat
mengagak sekiranya berlaku perkara tidak diingini,” katanya ketika ditemui di
rumahnya, semalam.
Sementara itu, Halimah berkata, dia sekeluarga pasti akan
berpindah ke bahagian hadapan rumah dan tidur di ruang tamu apabila hujan lebat
serta mengintai ke bahagian belakang rumah yang sering banjir.
“Kalau tak hujan tiada apa yang perlu dibimbangkan tetapi
jika hujan, kehidupan kami lima beranak sangat resah.
“Jadi kami sangat berharap pihak bertanggungjawab dapat
meninjau masalah ini dan mengambil tindakan sewajarnya. Sebelum ini, jiran saya
sudah memaklumkan masalah ini kepada pihak bertanggungjawab, namun sehingga
hari ini tiada pihak yang datang melihatnya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan