PAS DUN KOTA

PAS DUN KOTA

Isnin, 8 Mei 2017

Terpaksa tumpang tandas jiran



Terpaksa tumpang tandas jiran
Sinar Harian 9 Mei 2017

REMBAU - Seorang ibu tunggal di Kampung Sungai Layang, di sini, terpaksa menumpang lebih seminggu tandas rumah jiran susulan tandas rumah pusaka arwah ibunya rosak serta tidak boleh digunakan lagi.

Faridah Akim, 48, berkata, sebelum ini dia menetap di rumah adiknya di sini, namun membuat keputusan menetap kembali di rumah pusaka berkenaan untuk menjaganya.

Bagaimanapun menurutnya, sebelum meninggalkan rumah berkenaan hujung tahun lalu, dia serta keluarga adiknya tidak mampu melunaskan bil air yang mencecah lebih RM1,000 menyebabkan bekalan air dipotong.

“Jadi sekarang bila nak duduk balik di rumah pusaka ni akak terpaksa tumpang guna tandas rumah jiran. Mujurlah jiran bertolak-ansur serta baik hati beri akak guna tandas walaupun pada waktu tengah malam.

“Akak harap sangat ada pihak tampil hulurkan bantuan baiki tandas rumah pusaka ni dan sambung semula bekalan air,” katanya ketika ditemui sempena Lawatan Jemaah Muslimat Quran Rembau (MQR), di sini, semalam.

Faridah berkata, sebelum ini dia bekerja di sebuah pasar raya di daerah ini, namun terpaksa berhenti kerja memandangkannya tidak boleh bekerja mengangkat bebanan berat dan berdiri lama.

Katanya, dia ada memohon kerja di kedai makan tetapi pekerjaan itu hanya boleh dilakukan selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Buat masa ni saya bekerja bantu kemas di rumah orang, tentulah saya tak ada modal sendiri bagi baik pulih tandas rumah pusaka ni.

“Jadi nak tak nak saya terpaksa tumpang tandas rumah jiran,” katanya yang menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM200 sebulan.

Selain tidak mempunyai pekerjaan tetap, Faridah juga menanggung dua anak berusia 20 dan 16 tahun.

“Anak akak yang berusia 20 tahun masih belajar di sebuah kolej, manakala, anak akak yang berusia 16 tahun pula dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan