PAS DUN KOTA

PAS DUN KOTA

Khamis, 9 Mac 2017

Guru cuti tanpa gaji demi anak


Guru cuti tanpa gaji demi anak
10 Mac 2017

REMBAU - Seorang guru terpaksa mengambil keputusan sukar bercuti tanpa gaji demi menjaga anak bongsunya yang menghidap sakit saraf (cerebral palsy).

Guru, Noor Akmar Mahmood, 35, berkata, dia nekad membuat keputusan itu walaupun gusar terpaksa berhadapan masalah kewangan bagi menampung perbelanjaan perubatan dan keperluan anaknya.

Menurutnya, untuk tahun ini sahaja, anaknya, Muhammad Arsyad Riffat yang baru berusia setahun tiga bulan sudah lima kali dimasukkan ke wad Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban dan dia juga sudah kehabisan cuti menyebabkannya perlu mengambil cuti tanpa gaji sejak dua minggu lalu.

“Saya nak juga bawa anak dapatkan rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras sehingga dia boleh gerakkan saraf.  Saya mahu berada disamping anak dalam tempoh rawatan ini.

“Kata orang rugi kalau saya ambil cuti tanpa gaji kerana tindakan itu akan bagi kesan kepada rekod persaraan saya nanti tapi bagi saya biarlah saya usaha dari awal... sekurang-kurangnya anak saya mampu mengerakkan sarafnya seperti kanak-kanak normal lain,” katanya.

Noor Akmar berkata demikian ketika ditemui sempena Lawatan Muslimat Quran Rembau dan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan di Kampung Batu, di sini, kelmarin.

Tanbah Akmar, apa yang dirisaukannya kini ialah perbelanjaan perubatan serta keperluan anaknya memandangkan gaji bersih yang diterima kira-kira RM1,200 sahaja.

Menurutnya, dia sebelum ini ada membuat pinjaman serta menjadi penjamin sehingga menyebabkan dia mempunyai hutang lebih RM2,000 pada setiap bulan untuk dilunaskan.

“Jadi nak tak nak saya pergi ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal untuk minta bantuan, namun sebaik mereka tahu pekerjaan saya mereka tidak dapat membantu saya.

“Saya bimbang dan berharap agar agensi ini dapat bantu saya sekurang-kurangnya untuk keperluan susu khas anak saya yang dianggarkan sekitar RM400 sebulan  serta perbelanjaan pengangkutan ke hospital," katanya.

Akmar berkata, dia berharap agar niatnya untuk fokus terhadap perawatan saraf anaknya akan dapat berjalan dengan lancar.

Sempena lawatan itu, Muslimat Quran Rembau dan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan menyampaikan sumbangan buat keluarga berkenaan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan