PAS DUN KOTA

PAS DUN KOTA

Rabu, 14 Januari 2015

Tak sedar bumbung tercabut




Tak sedar bumbung tercabut
15 Januari 2015

REMBAU – Bumbung loteng kediaman dua beranak yang mengalami masalah penglihatan di Kampung Seberang Paya, Tanjung, dekat sini, diterbangkan angin kencang dalam kejadian awal pagi, semalam.

Dua beranak berkenaan, Aminah Musa, 73, dan Mohd Salmi Mohd Pasar, 33, bagaimanapun tidak mengetahui  bumbung kediaman mereka diterbangkan angin dan hanya mengetahui sebaik anak ketujuh Aminah, Suhaini Mohd Pasar, 41, menjenguk rumah mereka pada jam 7.30 pagi.

Menurut Suhaini, dia seperti biasa akan menjenguk ibunya setiap awal pagi yang tidur ditemani anaknya, Ana Sofea Hisham, 15, kerana ibunya mengalami masalah penglihatan sejak menjalani pembedahan awal tahun 90-an.

“Ibu bergerak menggunakan kerusi roda, sementara adik bongsu saya, Mohd Salmi buta selepas menjalani pembedahan dua tahun lalu. Mereka berdua tinggal di rumah yang terletak beberapa meter dari rumah saya kerana ibu tidak mahu meninggalkan rumah yang dibuat oleh arwah ayah saya yang meninggal pada tahun 2008.

“Jadi, walaupun mendengar bunyi bising, mereka tidak dapat melihat bumbung di bahagian loteng rumah diterbangkan angin. Malah, dahan pokok di perkarangan rumah kami juga tumbang,” katanya ketika ditemui di Kampung Seberang Paya, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Aminah berkata, pada awal pagi semalam, ketika berada di bilik di bahagian rumah bawah, dia ada mendengar bunyi angin kuat dan bunyi benda terjatuh, namun tidak mengetahui apa yang berlaku kerana tidak nampak.

“Pada masa itu, wan berasa takut, namun mujur wan ditemani Sofea yang tidur di rumah ini pada setiap malam. Jika diikutkan tiga tahun lalu, zink rumah ini pernah diterbangkan angin kencang.

“Wan sudah menetap di rumah ini sejak lebih 35 tahun lalu dan ini merupakan kejadian paling buruk pernah berlaku membabitkan angin kencang," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan