26 Januari 2014 REMBAU - Kesal dan
bimbang. Itulah perasaan diluahkan seorang bapa bekas pelajar Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Undang Haji Adnan (Duha), Kota, di
sini berikutan sekolah berkenaan didakwanya beroperasi tanpa sijil
layak menduduki (CF).
Mohd Rafique Mohd Ali, 50, berkata, dia
kecewa apabila bangunan sekolah yang menempatkan ratusan pelajar itu
masih lagi belum memiliki CF sehingga ke hari ini.
Menurutnya, perkara berkenaan
terbongkar pada 2005 apabila kejadian serpihan cermin tingkap laluan
udara menimpa anaknya, Mohd Afiq Nazirul, 25, sehingga menerima 10
jahitan. Ketika itu anaknya berada di tingkatan tiga.
"Kejadian berlaku 10 tahun lalu.
Saya pernah bertanya kepada pengetua adakah sekolah itu selamat.
Sekiranya selamat, mengapa perkara seperti itu boleh berlaku.
"Setelah diasak, pengetua
memberitahu sekolah itu dibuka untuk sesi pembelajaran walaupun masih
belum mendapat CF," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SMK
Duha, Abdul Ghani Zainudin berkata, sejak awal penubuhan sekolah itu,
masalah ketiadaan CF memang sering dibangkitkan dalam mesyuarat PIBG.
“Malah, nasib 609 pelajar tingkatan
satu hingga lima dan 50 orang guru yang berada di bangunan ini
sentiasa tidak selamat sehingga isu CF ini diselesaikan,"
katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, bangunan berusia 10
tahun itu perlu dilakukan pendawaian semula, namun disebabkan tidak
memiliki CF, kerja-kerja naik taraf itu tidak dapat dilakukan di
sekolah berkenaan.
Difahamkan, di Negeri Sembilan,
sebilangan bangunan di 36 sekolah masih tidak memiliki CF susulan
projek pembinaan berkenaan dijalankan di bawah konsep kolsultansi
pengurusan konsultan pengurusan projek (PMC).