12 Februari 2015
REMBAU – Penduduk dan pengguna jalan raya di Pekan Kota, di
sini, memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membaik pulih jalan mendap
dan juga penutup longkang yang rosak sejak lebih setahun lalu.
Penduduk yang ditemui, Tee Kim Chong, 70, berkata,
disebabkan masalah tersebut, seorang penunggang motosikal terjatuh di lokasi
berkenaan dua minggu lalu.
"Keadaan jalan yang mendap dan tidak rata ini mengancam
keselamatan pengguna jalan raya. Kita tidak mahu keadaan sama berulang kembali
sehingga mengorbankan nyawa orang tidak berdosa.
"Oleh itu, saya amat berharap supaya pihak terbabit
segera membaik pulih kerosakan ini demi kebaikan dan keselamatan pengguna jalan
raya,” katanya ketika ditemui di Pekan Kota, di sini, semalam.
Bagi Tai Kong San, 57, pula, kawasan berlubang itu terpaksa
ditutup dengan pengadang plastik bagi mengelak orang ramai terjerlus ke dalam longkang
tersebut.
“Bagi yang sudah biasa mereka sudah tahu terdapat lubang di
sini dan boleh mengelak daripada melalui kawasan ini, namun bagi orang luar,
saya bimbang tayar kereta mereka akan termasuk ke dalam lubang tersebut.
"Sudah lama keadaan ini berlaku tetapi sehingga
sekarang ia masih belum dibaiki," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Rembau (MDR),
Zaidi Johari berkata, pihaknya akan meninjau lokasi aduan dimaksudkan dan
mengambil tindakan susulan bagi mengatasi masalah itu.
Tinjauan Sinar Harian ke lokasi berkenaan mendapati,
terdapat tiga lokasi jalan mendap dan berlubang serta satu penutup longkang
yang telah rosak dan diletakkan pengadang plastik bagi mengelak orang ramai
terjatuh ke dalamnya.