PAS DUN KOTA

PAS DUN KOTA

Selasa, 20 Disember 2016

Kunci peti undi, wakil calon PAS didenda RM5,000


Kunci peti undi, wakil calon PAS didenda RM5,000
7 Dis 2016

PUTRAJAYA, 7 Dis - Mahkamah Rayuan semalam menjatuhi hukuman denda RM5,000 atau lima bulan penjara terhadap seorang wakil calon PAS, yang bertanding kerusi negeri semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013, kerana mengunci peti undi.

Panel tiga anggota dipengerusikan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menjatuhi hukuman itu terhadap Azahari Ismail, 49, setelah mengembalikan keputusan Mahkamah Majistret Port Dickson yang mensabitkan kesalahannya.

Azahari bagaimanapun terlepas daripada hukuman penjara apabila panel itu membenarkan rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret menjatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM4,000 atau lima bulan penjara dan menggantikannya dengan denda RM5,000 atu lima bulan penjara.

Panel itu, yang turut dianggotai Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan Azahari daripada kesalahan itu setelah memutuskan bahawa rayuan pihak pendakwa mempunyai merit.

“Saya harap perkara seperti ini tidak berlaku lagi,” kata Mohtarudin.

Azahari bertindak sebagai wakil kepada calon PAS Ramli Ismail, yang bertanding bagi kerusi negeri Bagan Pinang di kawasan Parlimen Telok Kemang, Negeri Sembilan. Calon Barisan Nasional (BN) Tun Hairuddin Abu Bakar memenangi kerusi itu dengan majoriti 6,067 undi.

Pada 9 Julai tahun lepas, Mahkamah Majistret mendapati Azahari bersalah bagi tuduhan mengunci peti undi dengan menggunakan mangga 'Yunxian' di pusat mengundi di Pusat Latihan Asas Tentera Darat di antara 7 malam dan 7.10 malam pada 30 April 2013.

Pada 19 April tahun ini, Mahkamah Tinggi Seremban melepaskan Azahari daripada kesalahan itu setelah membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan kesalahannya serta hukuman penjara 10 bulan dan denda RM4,000 yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Majistret.

Timbalan pendakwa raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir meminta mahkamah mengembalikan keputusan Mahkamah Majistret dengan berkata perbuatan Azahari itu menyebabkan proses pengiraan undi terganggu.

Dalam hujahnya, peguam Wan Rohimi Wan Daud yang mewakili Azahari berkata mengunci peti undi tidak bererti mengusik peti undi itu kerana tiada kerosakan fizikal yang berlaku.

Azahari, yang juga diwakili peguam Hazwan Mohd Nor, membayar denda itu.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan